
PENYERANG Selangor, Mohd. Safee Sali cuba melepasi halangan pertahanan KM Naza, B. Rajnikandh pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
--------------------------------------------------------------------------------
SELANGOR semakin hampir untuk muncul juara Liga Super selepas menewaskan Kuala Muda Naza (KM Naza) 4-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Bagaimanapun, KM Naza mendahului pada minit ke-22 menerusi jaringan Akmal Rizal Rakhli yang mudah menyempurnakan hantaran K. Rajan untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor kembali mengasak dan memiliki dua peluang terbaik tetapi rembatan Amri Yahyah pada minit ke-31 sedikit sipi, manakala rembatan R. Surendren seminit kemudian tepat ke daka- pan penjaga gol KM Naza, Suffian Ab. Rahman.
Sebaik separuh masa kedua bersambung, Selangor terus mengasak untuk memburu gol penyamaan.
P. Gunalan hampir melakukannya pada minit ke-48, namun rembatannya terkena tiang gol.
Usaha selangor untuk menyamakan kedudukan berhasil pada minit ke-55 menerusi gol sendiri pertahanan KM Naza, B. Rajni- kandh yang tertolak bola masuk ke gawang sendiri ketika mahu menyelamatkan asakan pemain Selangor, Amirulhadi Zainal.
Terdesak mencari jaringan tambahan, jurulatih Selangor, K. Devan melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-70 dengan memasukkan D. Surendran dan Asra- ruddin Putra Omar bagi menggantikan R. Surendren dan Amirulhadi.
Ia berhasil apabila Selangor berjaya memperoleh gol kedua menerusi Khairul Anuar Baharom yang bijak menyambar peluang ekoran keadaan kelam-kabut di depan pintu gol KM Naza selepas sepakan sudut.
Selangor terus kukuh pada minit ke-81 menerusi jaringan Amri Yahyah untuk menjadikan kedudukan 3-1.
KM Naza semakin pincang apabila Syahman Zainuddin dilayangkan kad merah setelah melakukan terjahan keras terhadap Asraruddin pada minit ke-84.
Selangor memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain dengan menambah gol keempat pada minit ke-88 menerusi tandukan Asraruddin hasil hantaran lintang C. Premnath.
Sementara itu, Perlis sekadar seri 1-1 dengan Perak di Stadium Perak.
Mohd. Syazwan Roslan meledak gol pembukaan Perak pada minit ke-31 sebelum penyerang Perlis, Nizaruddin Yusoff menyamakan kedudukan pada minit ke-73.
Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 7-2, sementara Pahang tewas 1-2 kepada Terengganu di Kuantan.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC seri 1-1 dengan KL Plus, manakala Negeri Sembilan menang 6-2 ke atas UPB-MyTeam di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.